Tuesday, June 28, 2011

Khalifah Umar r.a dan harta gabenor dan pegawainya

Umar al-Khattab begitu tegas dan ketat dalam urusan kewangan negara, beliau juga amat ketat dalam meneliti pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Setiap pegawai yang dilantik akan diminta melakukan deklarasi harta, dan peningkatan hartanya akan disemak dengan begitu kerap. Jika peningkatan berlaku, Umar r.a akan mengambil separuh untuk baitul Mal dan dalam beberapa keadaan Umar r.a mengambil semuanya. [3] Selain itu, Umar r.a turt melakukan lawatan mengejut ke ruamh pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah. [4]

Berikut beberapa kisah prihatinnya Umar r.a r.a :-
  • Gabenor kerajaan Islam di Mesir pada ketika itu adalah seorang sahabat bernama ‘Amr bin Al-‘As. Beliau dilaporkan membuat satu mimbar khas untuk dirinya di Mesir. Ini menyebabkan Umar al-Khattab menjadi marah lalu menghantar surat kepada ‘Amru yang menyebut "Aku mendengar kamu telah membina satu mimbar agar boleh meninggikan dirimu dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu" [5]
  • Dalam satu keadaan lain, Sa'ad juga dilaporkan membina pagar di sekitar rumahnya ( di ketika itu amat jangkal rumah mempunyai pagar kecuali terlalu kaya), sehingga orang ramai menggelarkannya "ISTANA SA'AD". Dinyatakan bahawa Sa'ad membina agar itu kerana rumahnya berhampiran degan pasar dan amat bising, lalu dibinanya agar dapat menghalang sedikit kebisingan. Apabila berita sampai kepada Umar al-Khattab, beliau melihat mudarat pagar itu lebih besar dari manfaatnya, lalu  dengan segera menghantar Muhammad bin Maslamah untuk membakar pagar tersebut.[6]
  • Umar r.a telah melantik Mujasha' bin Mas'od untuk beberapa tugasan, dan kemudiannya mendapat laporan isteri Mujasha' bernama al-Khudayra kerap membeli perabot baru dan hiasan dinding. Lalu Umar r.a menghantar surat kepada Mujasha' agar mengoyakkan semua hiasan dinding. Mujasha' menerima surat itu ketika bersama orang ramai, lalu dengan segera beliau mengarahkan isteri keluar lalu diminta orang ramai masuk ke rumah dan membantu mengoyak dan menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli isterinya[7]. Sebenarnya, Umar r.a tahu ia dibeli dengan harta syubhah akibat jawatan Mujasha', kerana itu diarahkan sedemikian. Anda juga boleh melihat betapa kuatnya taat dan yakinnya para pegawai dengan keikhlasan dan kejujuran Umar r.a.
  • Umar r.a pernah melawat pegawai-pegawainya di Syria, dan kemudian Yazid Bin Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah, ketika Umar r.a memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan. Umar r.a mula mengambilnya sambil berkata "barang-barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan panas" [8]
  • Umar r.a juga pernah mengambil beberapa bahagian harta adik beradik gabenornya dan pegawainya apabila hasil penyelidikannya mendapati keraguan. Contohnya seperti beliau mengambil sebahgian dari harta Abu Bakrah. Namun Abu Bakrah cuba membantah dengan mengatakan "aku tidak pernah berkhidmat denganmu (sebagai pegawai kerajaan)"
    Umar r.a menjawab "Ya benar, tetapi adikmu berkhidmat sebagai penyelia Baitul Mal, dan dia telah memberikan beberapa pinjaman kepadamu agar kamu boleh berniaga dengannya" [9]

Kesimpulannya, semua tindakan Umar r.a ini tidaklah diambil secara sembrono, kisah ini hanyalah ringkasan sahaja, dan tindakan beliau semua bagi mengelakkan jawatan di jadikan PELUANG UNTUK MERAUT KEKAYAAN.

Ibn Taymiah mengulas beberapa tindakan Umar r.a tadi bagi membuang segala keraguan rakyat terhadap pendapatan para gabenor dan pegawainya, yang mungkin menjadi kebiasaan diberi hadiah oleh rakyat jelata disebabkan oleh jawatannya.[10]

[3] Futuh al-Buldan, hlm 220 dan 221 ; Al-Wilayah ‘ala al-Buldan, 2/131
[4] Tarikh al-Madinah, 3/837
[5] Futuh Misr wa akhbaruha, Ibn Abd Hakam, hlm 92
[6] Futuh al-Buldan, hlm 77 ; Al-Idarah al-Islamiyah, Majdalawi, lm 216
[7] Tarikh al-Madinah, 3/832
[8] Al-Wilayah ‘ala al-Buldan, 2/128
[9] Shahed al-Mihrab,
[10] Al-fatawa, 28/157

Sumber: http://www.zaharuddin.net/content/view/797/72/

Wednesday, June 15, 2011

Solat Sunat Gerhana

Rasulullah SAW bersabda yang ertinya :
 “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak gerhana disebabkan matinya seseorang atau disebabkan lahirnya. Tetapi kedua-duanya merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah menakutkan hamba-hambanya. Apabila engkau melihat perkara tersebut, hendaklah engkau solat dan berdoa sehingga gerhana itu hilang pada pandangan” – (HR. Bukhari dari Abi Barkah)
Apabila terjadi gerhana matahari, umat Islam disunatkan mengerjakan solat sunat gerhana matahari atau solat kusuf sebanyak dua rakaat, dan sunat pula dikerjakan secara berjemaah. Waktu mengerjakan solat kusuf adalah sejak matahari mula gerhana sehingga terang semula sepenuhnya. Sekiranya matahari terbenam dalam keadaan masih gerhana, masa solat kusuf habis dengan terbenamnya itu.



Jangan lepaskan peluang untuk sujud memohon keampunan di saat gerhana bulan penuh, caranya solat sunat gerhana atau solat sunat kusuf ada di bawah.

Niat Solat Sunat Gerhana

“Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Kaifiat:

Solat sunat gerhana boleh dilakukan sama ada secara berseorangan atau berjemaah dan
sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Khaifiat yang lebih sempurna adalah seperti
berikut:

a. Rakaat Pertama
  1. Takbiratul Ihram.
  2. Membaca doa iftitah.
  3. Membaca surah al-Fatihah.
  4. Membaca surah al-Baqarah atau mana-mana surah.
  5. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira 100 ayat.
  6. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah.
  7. Membaca surah Ali-Imran atau mana-mana surah.
  8. Ruku' dan membaca tasbih kira-kira 90 ayat.
  9. Iktidal.
  10. Sujud dan membaca tasbih.
  11. Duduk antara 2 sujud.
  12. Sujud kembali.
  13. Berdiri ke rakaat kedua.


b. Rakaat Kedua

  1. Membaca surah al-Fatihah.
  2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.
  3. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira 70 ayat.
  4. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah.
  5. Membaca surah al-Maidah atau mana-mana surah.
  6. Ruku dan membaca tasbih kira-kira 50 ayat.
  7. Iktidal.
  8. Sujud dan membaca tasbih.
  9. Duduk antara 2 sujud.
  10. Sujud kembali.
  11. Membaca tasyahud akhir.
  12. Memberi salam.